Ketum 'power' ada campuran najis lembu
![]() |
AIR ketum yang bercampur najis lembu ini semakin popular di kalangan penagih dadah di sekitar daerah Setiu. |
SETIU - Jijik, tapi lebih kuat penangannya.
Bagi menambah kesan air ketum, ada penagih dipercayai semakin kreatif apabila mencampurkannya dengan najis binatang.
Ini kerana mereka percaya kononnya penggunaan campuran menjijikkan seperti najis lembu mampu memberi kesan khayal yang lebih kuat berbanding ketum biasa.
Trend menambah 'perisa baru' kepada air ketum dikatakan semakin popular di kalangan penagih air ketum di daerah ini.
Seorang kaki air ketum yang hanya mahu dikenali sebagai Awang ketika ditemui KOSMO! berkata, bagi orang lain ia mungkin memualkan, tetapi dia percaya kesan lebih kuat boleh diperoleh dengan cara itu.
Dia mendakwa, air ketum bernajis boleh memberinya lebih semangat dan mampu bekerja lebih kuat.
"Mula-mula memang geli tapi lama-lama sudah biasa, lagi pun lebih 'power', lebih 'stim','' kata Awang tanpa berahsia.
Pemuda dalam lingkungan 20-an itu mendakwa terpaksa mencipta kelainan pada air minuman itu kerana bekalan daun ketum sukar diperoleh sejak akhir-akhir ini.
Malah, katanya, ketiadaan daun ketum di beberapa kawasan di daerah ini seperti Hulu Seladang dan Langkap, menyebabkan pembekal membeli daun itu dari luar negeri ini termasuk dari Gua Musang, Kelantan dengan harga RM20 hingga RM25 sekilogram.
Difahamkan, harga daun ketum itu naik hampir sekali ganda berbanding RM10 hingga RM15 sekilogram sebelum ini.
Awang yang mula meminum air itu sejak tiga tahun lalu, percaya banyak lagi bahan lain yang boleh dicampur bagi menambah kekuatan air ketum.
"Benda ini macam buat uji kaji, kadang kala bahan yang dicampur itu dapat menambah khasiat. Siapa tahu akan datang banyak lagi bahan boleh dicampurkan untuk mendapat kesan kuat," katanya.